APA ITU 'LEAN'?

Perkataan ‘Lean’ menjadi terkenal apabila James Womack & Dan Jones menerbitkan buku Lean Thinking pada tahun 1996. Lean dalam konteks kualiti dan kos bermaksud ‘EFISYEN’ (cekap). Efisyen bermaksud menjalankan aktiviti dengan mengoptimakan sumber, termasuklah masa, sumber manusia, tenaga dan juga kewangan dan dalam masa yang sama, memenuhi kehendak pelanggan dan meningkatkan kepuasan pelanggan.
Matlamat utama Lean adalah untuk MENGHAPUSKAN pembaziran. Menurut Profesor James Womack & Dan Jones di dalam buku mereka, The Machine That Change The World (1996), Lean merujuk kepada koleksi prinsip dan kaedah yang memberi tumpuan kepada mengenal pasti dan menghapuskan aktiviti yang tidak memberi nilai tambah (pembaziran) kepada pelanggan dalam mana-mana proses kerja dalam organisasi.
​
Pada asalnya pendekatan Lean dibangunkan untuk kegunaan sektor swasta yang mensasarkan proses pembuatan, yang terbukti berlakunya kemajuan yang stabil dan rasional disesuaikan dalam sektor perkhidmatan dan proses pentadbiran. Hasilnya, minat sektor awam untuk mengamalkan Lean meningkat dengan cepat, didorong oleh impak penambahbaikan yang kukuh dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan kewangan.
Sebelum perkataan Lean digunakan, ia dikenali sebagai Toyota Production System (TPS). TPS telah diamalkan oleh sektor pembuatan di Jepun semenjak tahun 60-an kerana berlaku kekurangan sumber, termasuklah tanah dan sumber asli. Justeru, TPS digunakan sebagai alternatif untuk mampu bersaing dan memenuhi kehendak pelanggan dengan mengoptimumkan sumber-sumber yang ada.